Header Ads

Menilai Ijazah Kehormat Susilo

Setelah menerima anugerah yang membawa kepada gelaran “Knight Grand Cross in the Order of the Bath” daripada Ratu Elizabeth II di London pada bulan Oktober lalu, Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) sekali lagi dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Kepemimpinan dan Keamanan daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) beberapa hari yang lalu. Kedatangan Susilo telah disambut meriah oleh Kerajaan Malaysia dan menganggap kedatangan SBY itu boleh mengukuhkan lagi hubungan dua-hala Malaysia-Indonesia.

Apa yang menghairankan ialah bagaimana seorang pemimpin no.1 sebuah negeri umat Islam yang mempunyai jumlah penduduk muslim terbesar di rantau ini mendapat pengiktirafan untuk keamanan dunia sejagat. Padahal, fakta menunjukkan bahawa Indonesia pada ketika ini masih dibelenggu dengan pelbagai kekacauan dan keganasan terutama yang kerap berlaku di beberapa wilayah kepulauannya. Oleh itu, apakah dia benar-benar layak diberikan sebilangan anugerah keamanan?

Jika diperhatikan dengan mendalam, anugerah yang diberikan kepada Susilo itu tidak lebih daripada untuk mengeratkan lagi hubungan Indonesia-Malaysia agar kepentingan-kepentingan barat terus terpelihara di rantau ini. Pada ketika ini, SBY dianggap antara pemimpin Indonesia yang berjaya mengekalkan sistem Demokrasi barat. Secara umumnya, rakyat Indonesia sudah boleh atau terpaksa menerima kepimpinan SBY.

Ini adalah kerana, perubahan-perubahan yang dilakukan SBY terhadap amalan sistem Demokrasi di Indonesia dilihat telah mampu untuk mententeramkan rakyatnya sehingga mereka merasakan hak kebebasan bersuara mereka dijaga dan dipelihara oleh SBY. Inilah yang sebenarnya digemari oleh Barat yang melihat SBY telah berjaya di dalam ‘menipu’ rakyatnya dengan memberikan hak kebebasan tetapi pada masa yang sama bersikap lunak dengan barat sehingga segala kepentingan barat yang terdapat di rantau ini terus aman dan terpelihara.

Justeru, umat Islam tidak harus terkeliru dan hendaklah melihat hal ini di dalam ruang lingkup yang lebih luas. Persoalan yang seharusnya bermain di dalam benak pemikiran kita adalah, adakah barat benar-benar memperjuangkan keamanan sejagat? Disebalik segala kekacauan yang sedang berlaku di dunia pada hari ini, harapan keamanan yang diletakkan kepada barat sudah tentu akan menemui jalan sia-sia. Hanya kepada Syariat Islam sahaja harapan yang tinggal untuk melihat dunia kembali mengecapi kesejahteraan dan keamanan di dalam ertikata yang sebenarnya.
http://www.mykhilafah.com/berita-global/3808-menilai-ijazah-kehormat-susilo

Posting Komentar